Al-Farabi

 Al-Farabi  

Digelar Aristotle kedua.


Tulisan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle mempunyai pengaruh yang

besar terhadap pemikiran ahli falsafah Islam. Salah seorang ahli falsafah Islam yang

terpengaruh dengan pemikiran kedua tokoh tersebut ialah Al-Farabi.


Nama sebenarnya Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu Uzlaq

Al Farabi. Beliau lahir pada tahun 874M (260H) di Transoxia yang terletak dalam

Wilayah Wasij di Turki. Bapanya merupakan seorang anggota tentera yang miskin

tetapi semua itu tidak menghalangnya daripada mendapat pendidikan di Baghdad.

Beliau telah mempelajari bahasa Arab di bawah pimpinan Ali Abu Bakr Muhammad

ibn al-Sariy.

 


Selepas beberapa waktu, beliau berpindah ke Damsyik sebelum meneruskan

perjalanannya ke Halab. Semasa di sana, beliau telah berkhidmat di istana Saif al-

Daulah dengan gaji empat dirham sehari. Hal ini menyebabkan dia hidup dalam 

keadaan yang serba kekurangan.

 


Al-Farabi terdidik dengan sifat qanaah menjadikan beliau seorang yang amat

sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan dunia. Beliau lebih menumpukan

perhatian untuk mencari ilmu daripada mendapatkan kekayaan duniawi. Sebab itulah

Al-Farabi hidup dalam keadaan yang miskin sehingga beliau menghembuskan nafas

yang terakhir pada tahun 950M (339H).

 


Walaupun Al-Farabi merupakan seorang yang zuhud tetapi beliau bukan seorang ahli

sufi. Beliau merupakan seorang ilmuwan yang cukup terkenal pada zamannya. Dia

berkemampuan menguasai pelbagai bahasa.

 


Selain itu, dia juga merupakan seorang pemuzik yang handal. Lagu yang dihasilkan

meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya. Selain mempunyai

kemampuan untuk bermain muzik, beliau juga telah mencipta satu jenis alat muzik

yang dikenali sebagai gambus.

 


Kemampuan Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga memiliki ilmu

pengetahuan yang mendalam dalam bidang perubatan, sains, matematik, dan sejarah.

Namun, keterampilannya sebagai seorang ilmuwan yang terulung lebih dalam bidang

falsafah. Bahkan kehebatannya dalam bidang ini mengatasi ahli falsafah Islam yang

lain seperti Al-Kindi dan Ibnu Rusyd.

 

  

Dalam membicarakan teori politiknya, beliau berpendapat bahawa akal dan wahyu

adalah satu hakikat yang padu. Sebarang percubaan dan usaha untuk memisahkan

kedua-dua elemen tersebut akan melahirkan sebuah negara yang pincang serta 

masyarakat yang kacau-bilau. Oleh itu, akal dan wahyu perlu dijadikan sebagai dasar

kepada pembinaan sebuah negara yang kuat, stabil serta makmur.


 

Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori Socrates, Plato, dan Aristotle

dalam usahanya untuk menghasilkan teori serta konsep mengenai kebahagiaan. Maka

tidak hairanlah, Al-Farabi dikenali sebagai orang yang paling memahami falsafah

Aristotle. Dia juga merupakan seorang yang terawal menulis mengenai ilmu logik

Yunani secara teratur dalam bahasa Arab.

 


Meskipun pemikiran falsafahnya banyak dipengaruhi oleh falsafah Yunani tetapi

beliau menentang pendapat Plato yang menganjurkan konsep pemisahan dalam

kehidupan manusia.

 


Menurut Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya

daripada sains dan politlk. Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya untuk menjadi 

seorang ahli falsafah yang sempurna. 


 

Tanpa sains, seorang ahli falsafah tidak mempunyai cukup peralatan untuk

diekspolitasikan untuk kepentingan orang lain. Justeru, seorang ahli falsafah yang

tulen tidak akan merasai sebarang perbezaan di antaranya dengan pemerintah yang

tertinggi kerana keduanya merupakan komponen yang saling lengkap melengkapi.

Dalam hal ini beliau mencadangkan agar diwujudkan sebuah negara kebajikan yang

diketuai oleh ahli falsafah.

 


Pandangan falsafahnya yang kritikal telah meletakkannya sebaris dengan ahli falsafah

Yunani yang lain. Dalam kalangan ahli falsafah Islam, beliau juga dikenali sebagai

Aristotle kedua. Bagi Al-Farabi, ilmu segala-galanya dan para ilmuwan harus

diletakkan pada kedudukan yang tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.


 

Pandangan Al-Farabi ini sebenarnya mempunyai persamaan dengan falsafah dan

ajaran Confucius yang meletakkan golongan ilmuwan pada tingkat hierarki yang

tertinggi di dalam sistem sosial sesebuah negara.


 

Di samping itu, Al-Farabi juga mengemukakan banyak pandangan yang mendahului

zamannya. Antaranya beliau menyatakan bahawa keadilan itu merupakan sifat semula

jadi manusia, manakala pertarungan yang berlaku antara manusia merupakan gejala

sifat semula jadi tersebut.

 

 

Pemikiran, idea, dan pandangan Al-Farabi mengenai falsafah politik terkandung 

dalam karyanya yang berjudul "Madinah al-Fadhilah". Perbicaraan mengenai ilmu

falsafah zaman Yunani dan falsafah Plato serta Aristotle telah disentuhnya dalam

karya " Ihsa* al-Ulum" dan "Kitab al-Jam". 

 


Terdapat dua buku tidak dapat disiapkan oleh Al-Farabi di zamannya. Buku-buku itu

ialah "Kunci Ilmu" yang disiapkan oleh anak muridnya yang bernama Muhammad Al

Khawarismi pada tahun 976M dan "Fihrist Al-Ulum" yang diselesaikan oleh Ibnu AlNadim pada tahun 988M.




 




Al-Farabi juga telah

menghasilkan

sebuah buku yang

mengandungi pengajaran dan


teori

muzik

Islam, yang diberikan judul

"Al-Musiqa" dan

dianggap sebagai sebuah


buku yang terpenting

dalam bidang berkenaan.




 




Sebagai seeorang ilmuwan

yang tulen, Al-Farabi turut

memperlihatkan


kecenderungannya

menghasilkan

beberapa kajian

dalam

bidang perubatan.

Walaupun


kajiannya

dalam bidang ini tidak

menjadikannya

masyhur tetapi pandangannya telah

memberikan sumbangan yang cukup bermakna terhadap perkembangan ilmu 

perubatan di zamannya.


 


Salah satu pandangannya yang menarik ialah mengenai betapa jantung adalah lebih

penting berbanding otak dalam kehidupan manusia. Ini disebabkan jantung

memberikan kehangatan kepada tubuh sedangkan otak hanya menyelaraskan

kehangatan itu menurut keperluan anggota tubuh badan.


 


Sesungguhnya Al-Farabi merupakan seorang tokoh falsafah yang serba boleh. Banyak

daripada pemikirannya masih relevan dengan perkembangan dan kehidupan manusia

hari ini. Sementelahan itu, pemikirannya mengenai politik dan negara banyak dikaji

serta dibicarakan di peringkat universiti bagi mencari penyelesaian dan sintesis

terhadap segala kemelut yang berlaku pada hari ini.


Diberdayakan oleh Blogger.